Cari...

Kesihatan

Tahukah Anda, Bahawa Merokok Memang Antikesuburan

Kongsi

LEBIH bergaya, macho dan dapat menghilangkan tekanan. Itu antara alasan mengapa ada lelaki memilih gaya hidup sebagai perokok.

Mereka cuba menafikan hakikat bahaya rokok terhadap kesihatan. Sedangkan tabiat itu beri kesan buruk terhadap kesuburan, kesihatan sperma dan peluang menimang cahaya mata.

Pada masa sama ia juga boleh menjejaskan kesuburan wanita sebagai perokok pasif kerana menyedut asap rokok yang dilepaskan suami perokok.

Asap rokok adalah ancaman kepada ibu mengandung dan kesihatan bayi dalam kandungan.

Pakar Kesuburan dan Sakit Puan, Pusat Kesuburan Sophea, Dr Salleha Khalid berkata, banyak kajian membuktikan rokok boleh memberi empat kesan kepada sperma.

Pertama, merokok akan mengurangkan bilangan sperma sehingga lebih 20 peratus.

“Kesan kedua adalah pergerakan sperma berkurangan sehingga lebih daripada 10 peratus. Pergerakan sperma yang normal perlu bagi membolehkan sperma bergerak menuju tiub fallopian dan bersenyawa dengan telur wanita.

“Kesan seterusnya pula akan menjejaskan bentuk sperma. Sperma yang tidak mempunyai bentuk normal tak mampu bersenyawa dengan telur wanita.

“Merokok juga boleh menyebabkan kandungan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dalam sperma terjejas,” katanya.

Beliau berkata, ada kajian menunjukkan sperma yang mempunyai kadar DNA terjejas tinggi akan mempunyai masalah persenyawaan, embrio terhasil tidak membahagi dengan normal, embrio tak mampu menempel di dinding rahim dan berisiko keguguran.

Menurutnya, kesan rokok adalah lebih ketara bagi mereka yang mempunyai bacaan sperma suboptimal atau di bawah paras normal.

Dr Salleha berkata, banyak juga kajian menunjukkan kesuburan isteri perokok turut terjejas walaupun isteri sekadar perokok pasif.

“Ini kerana asap rokok memberi kesan kepada kualiti telur dan kajian menunjukkan bilangan telur yang dapat diambil ketika melakukan rawatan kesuburan in-vitro (IVF) kurang lebih daripada 40 peratus bagi isteri yang suaminya perokok.

Baca juga  Meredakan Sering Batuk Tak Henti-Henti Dengan Cara Ini
ASAP rokok berbahaya kepada wanita mengandung.
ASAP rokok berbahaya kepada wanita mengandung.

“Wanita yang terkesan dengan rokok juga mempunyai risiko menopaus lebih awal,” katanya.

Selain itu, menurut Dr Salleha, kesan rokok berterusan kepada wanita mengandung akan meningkatkan risiko mengalami kandungan di luar rahim.

Jelasnya, ia berlaku apabila embrio terhasil daripada persenyawaan telur dan sperma yang sepatutnya melekat pada dinding rahim, didapati melekat di luar rahim.

“Lokasi kerap berlaku kandungan di luar rahim ialah di tiub fallopian yang mengakibatkan kesihatan ibu dalam bahaya.

“Kandungan di luar rahim boleh menyebabkan berlaku pendarahan dalaman,” katanya.

Dr Salleha menjelaskan perkembangan bayi dalam kandungan boleh terjejas disebabkan asap rokok yang saiznya lebih kecil berbanding bayi lain termasuk berat kelahiran agak rendah.

“Asap rokok juga memberi kesan kepada otak dan paru-paru bayi di dalam kandungan.

“Gas karbon monoksida yang terdapat dalam asap rokok adalah toksik kepada otak, sistem saraf dan paru-paru bayi.

“Kesan ini terjadi bukan saja terhad semasa di dalam kandungan bahkan apabila bayi dilahirkan yang seterusnya pada peringkat kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Katanya, kesan lain yang mungkin ramai tidak tahu ialah bayi mempunyai risiko mengalami sumbing sekiranya kandungan terdedah dengan asap rokok.

Menurut Dr Salleha lagi, kesan lebih membimbangkan akibat pendedahan asap rokok kepada bayi yang sudah dilahirkan ialah mempunyai risiko meninggal di dalam tidur secara tiba-tiba.

“Sindrom ini dinamakan sindrom kematian mengejut (SIDS) yang kerap berlaku terhadap bayi yang sihat pada usia kurang setahun,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Salleha berkata, tidak dinafikan ada perokok beralih kepada rokok elektronik, vape kerana beranggapan ia lebih selamat berbanding rokok biasa.

Namun, tanggapan ini tidak benar dan dianggarkan hampir 3.2 peratus penduduk Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas menghisap vape.

Baca juga  Tips Pulihkan Tekanan Darah Tanpa Pengambilan Ubat

Sementara 2.3 peratus pula adalah dwi-pengguna iaitu menghisap rokok dan vape.

“Vape menghasilkan wap mengandungi nikotin ‘tetrahydrocannabinol (THC)’, ‘propylene glycol’, ‘glycerol’ dan larutan berperisa.

“Larutan berperisa yang digunakan untuk vape ini turut boleh memberi kesan kepada sperma. Sebagai contoh, larutan yang berperisa ‘bubble gum’ boleh membunuh sel di testis iaitu tempat sperma dihasilkan.

“Campuran larutan yang perisa serbuk kayu manis memberi kesan yang buruk kepada pergerakan sperma,” katanya.

Katanya, kajian terkini turut menunjukkan penggunaan vape akan melambatkan proses penempelan embrio kepada dinding rahim.

Dr Salleha berkata, kajian lain pula menunjukkan vape boleh memberi impak jangka panjang kepada kesihatan bayi di dalam kandungan.

HENTIKAN tabiat merokok kerana memberi kesan buruk terhadap kesihatan.
HENTIKAN tabiat merokok kerana memberi kesan buruk terhadap kesihatan.

Jaga kesihatan diri, bukan hanya kerana takut tidak subuh, ia juga boleh selamatkan anda dari terkena penyakit barah paru-paru. Sayangi diri anda. Sekian petikan dari hmetro.com.my

Tag:

Tinggalkan komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *