Cari...

Psikologi

Mulut Memainkan Peranan Yang Besar Dalam Hubungan Manusia

Kongsi
mulut

Mulut merupakan ‘anggota’ badan yang begitu istimewa. Atas keistimewaan itu, banyak pepatah, bidalan, perumpamaan dan peribahasa terbit daripadanya. Antaranya, apabila seseorang itu banyak sangat bercakap yang bukan-bukan, akan dipanggil “mulut becok” atau “mulut murai”.

Apabila terlalu banyak menggunakan perkataan yang manis-manis dan menggembirakan orang lain, dipanggil “mulut manis”. Begitu juga jika seseorang itu terlalu banyak sangat mengomel, mencaci, mencela dan tidak memberikan kredit atau penghargaan kepada orang lain berdasarkan pertimbangan rasional, dia dipanggil “mulut berus”, atau disindir dengan kata-kata “jaga sikit mulut tu”, “mulut tidak ada insuran!”

Seperti juga lain-lain aktiviti anggota badan, selain menggunakan mulut untuk makan, mulut juga dikatakan alat utama untuk mengeluarkan suara dari tekak. Suara yang keluar itu bergantung kepada lidah, kedudukan gigi dan jika suara terlalu perlahan, seseorang itu akan memerhatikan gerak bibir, yang merupakan pintu kepada mulut. Bibir yang manis, ditambah dengan gincu yang merah, bentuk yang tertentu bukan sahaja menjadikan seseorang itu menawan, malah dianggap seksi.

mulut

Dengan menggunakan mulut dan bermuarakan sepasang bibir mungil, kata-kata yang keluar menyebabkan hati seseorang itu sama ada boleh menjadi cair ataupun geram tak keruan. Kerana itulah Islam sentiasa mengingatkan setiap penganutnya agar menjaga keharmonian tutur kata, memperbanyakkan senyuman, bercakap dengan benar dan tidak terlalu menghabiskan masa menghiasi bibir dengan gincu yang menggairahkan.

Kata-kata merupakan himpunan bunyi yang berstruktur untuk menyampaikan sesuatu perkara melalui perantaraan bahasa. Berdasarkan sejarah peradaban manusia, bahasa merupakan satu alat yang paling berkesan dan terbaik pernah dilahirkan oleh manusia sepanjang kehidupannya. Melalui penggunaan kata-katalah manusia dapat memahami, berhubung dan seterusnya hidup bermasyarakat. Melalui bahasa juga manusia mampu merungkaikan keharmonian dan perseteruan antara mereka sehingga membangkitkan rasa marah dan dendam.

Mulut Dalam Hubungan Menurut Islam

Dalam Islam kata-kata kotor, makian serta ucapan menghina merupakan satu perkara yang sangat tercela dan dilarang. Sesungguhnya segala sumber kata-kata kotor atau nista itu timbul daripada watak yang rendah dan jiwa yang hina. Kerana itu ada pendapat mengatakan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan kerana itulah Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bahawa:

“Jauhilah olehmu semua kata-kata kotor sebab Allah tidak suka kepada kata kotor atau yang menyebabkan timbulnya kata kotor dari orang lain.”

Kata-kata kotor, nista, umpatan dan kejian menyebabkan manusia berkonflik, bergaduh dan seterusnya bersengketa sehingga berlakunya pembunuhan, pertumpahan darah dan lenyap sama sekali. Mungkin kita boleh jadikan teladan, (dahulunya) bagaimana masyarakat Islam terus membenci Presiden George W. Bush apabila beliau menyifatkan Iran dan Iraq sebagai “paksi kejahatan.” Seluruh masyarakat Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung mengutuk pemberian gelaran itu terhadap negara-negara Islam.

Kita mungkin teringat dengan hukuman yang pernah diberikan oleh Ayatullah Khomeini apabila Salman Rushdie mempersendakan Nabi Muhamad s.a.w dan Islam. Mungkin juga kita tidak lupa dengan kata-kata pedih yang pernah dikeluarkan oleh pemimpin tertentu bagi menggambarkan watak yang tidak disukainya. Dan dalam suasana politik di negara kita sekarang ini, berbagai-bagai perkataan dan percakapan yang tidak enak didengar berkumandang tanpa batasan. Malahan mencerca sesama Muslim seolah-olah suatu permainan yang seronok dimainkan sehingga melupakan ‘diri’ sebagai bangsa berbudi bahasa dan teguh beragama.

Apakah mereka tidak terfikir akan pesan dan nasihat Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Seorang mukmin bukanlah tukang mencela, tukang melaknat orang, tukang berkata kotor dan berkata rendah.”

“Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang berkata kotor untuk memasukinya.”

Dalam membuat sesuatu tuduhan, berkata-kata kita seharusnya menjadikan  perilaku dan tutur kata Rasulullah saw sebagai contoh yang terbaik. Baginda, tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat, walaupun berhadapan dengan musuhnya. Sebaliknya baginda membalas dengan senyuman dan menasihati secara berhemah dan tidak menyakiti atau melukai perasaan orang lain.

Sumber: mutiaraislam.wordpress.com

Baca juga  Gangguan Emosi Merupakan Satu Penyakit Yang Merbahaya
Tag:

Tinggalkan komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *