Cari...

Islamik

Ibadah Korban Amalan Yang Sangat Di Tuntut Dalam Islam

Kongsi

Ibadah korban merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Tujuannya adalah sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Dalil pensyariatannya sabit dengan al-Quran dalam surah al-Kauthar ayat 2 dan surah al-Hajj ayat 36. Hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut (sunat muakkadah).

Aidiladha ialah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan pada empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah.

Ibadah Korban

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

ibadah korban
Foto: www.budiey.com

Dalam pelaksanaan ibadah korban ini, selain ia diuruskan secara individu, ada syarikat atau agensi pengurusan korban menawarkan perkhidmatan mengurus korban sebagai satu perniagaan kepada mereka yang memerlukan. Cara ini termasuk urusan atas talian yang dianggap lebih cepat dan senang tanpa melalui proses ‘turun padang’ untuk melaksanakan ibadah korban.

Isu sumbangan atau pemberian haiwan korban juga sering dibangkitkan dalam masyarakat kerana melibatkan jumlah sumbangan yang banyak oleh pihak-pihak yang berhajat menyumbangkan ternakan korban kepada kelompok masyarakat Islam bagi sama-sama meraikan Hari Raya Korban. Oleh yang demikian, penggunaan perkhidmatan urusan dan pemberian sumbangan, hendaklah diberi perhatian secara khusus supaya ia dapat memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.

Baca juga  Adab Semasa Menyambut Hari Raya Aidilfitri

Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. 

Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakannya tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian bersih dan ceria dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

Tag:

Tinggalkan komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *