Connect with us

Hukum Bertepuk Tangan Berasaskan Nas Syarak dan Realiti Umat Islam

Gaya Hidup

Hukum Bertepuk Tangan Berasaskan Nas Syarak dan Realiti Umat Islam

Hukum Bertepuk Tangan Berasaskan Nas Syarak dan Realiti Umat Islam

Amalan bertepuk tangan merupakan satu kebiasaan yang sering berlaku dalam budaya masyarakat Malaysia. Sama ada dalam majlis-majlis rasmi atau tidak rasmi atau dalam suasana riang atau bersemangat. Kadang-kadang ia lahir secara spontan hasil kelaziman yang dilakukan tanpa sebarang tujuan-tujuan tertentu seperti memberi penghormatan, untuk menunjukkan kegembiraan atau sebagai rangsangan atas beberapa perkara yang dilakukan.

Orang-orang yang mempelopori kebangkitan Islam di Malaysia umpamanya mula menggantikan budaya ini dengan laungan Allahuakbar dan akhirnya laungan Allahuakbar mula mengambil tempat budaya tepuk tangan. Namun begitu laungan Allahuakbar ini mula sepi dan ditinggalkan oleh kebanyakan orang tidak kira samada mereka pendokong gerakan Islam atau tidak.

Dan kesudahannya suatu suasana baru yang wujud ialah kejumudan, kesepian dan kekakuan dalam suasana atau majlis-majlis tersebut, tidak ada lagi tepuk tangan dan tidak ada lagi  laungan Allahuakbar.  Apa yang jelas umum rata-ratanya tidak mengetahui bagaimana sebenarnya fenomena ini terjadi dan mengapa budaya ini tiba-tiba sahaja ditinggalkan.

Pandangan Fuqaha

Merujuk kepada kitab-kitab Fiqh terdahulu dan semasa, tidak ramai dari kalangan fuqaha yang membicarakan soal ini secara terperinci, suatu yang pasti kesemua fuqaha dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak langsung menyentuh perkara ini dalam kitab-kitab mereka.

Meskipun ada fuqaha dari kalangan Syafiiyah yang membicarakan soal ini dalam kitab-kitab mereka namun ia hanya dibicarakan secara ringkas dalam suatu ruangan yang agak sempit di bawah tajuk hokum bertepuk tangan dan bertasbih dalam sembahyang apabila berlaku kekhilafan di pihak Imam. ( Al syeikh Ibrahim Al baijuri, Hasyiah Al Syeikh Ibrahim Al baijuri ‘Ala Syarh Al ‘Allamah Ibn Qasim Al Ghazzi ‘Ala matn Al Syeikh Abi Syuja’, Dar Al Fikr,Jil.1,h.181)

Baca juga  Molekul Air Berubah Menjadi Bentuk Kristal Setelah Dibacakan Doa

Kebanyakan tulisan selain dari tulisan fuqaha berkenaan hanya menyentuh persoalan bertepuk tangan didalam sembahyang. Begitu juga kitab-kitab tafsir dan hadis tidak membicarakan soal ini malah kitab-kitab tentang adab juga tidak menyentuhnya dalam perbincanagan mereka.

Secara umumnya berdasarkan pandangan beberapa kalangan fuqaha Syafie berkenaan persoalan bertepuk tangan di luar dari perlakuan sembahyang boleh disenaraikan di bawah dua keadaan:

  1. Bertepuk tangan tanpa apa-apa keperluan
  2. Bertepuk tangan ketika ada keperluan

Bertepuk Tangan Tanpa Apa-apa keperluan

Terdapat tiga kecenderungan dalam memberikan hukum bertepuk tangan ketika keadaan tidak memerlukan.

Al Ramli(ibid), menyatakan haram bertepuk tangan dengan tujuan untuk mempermain-mainkan dan pandangan yang muktamad mengikut Al Ramli ialah makruh bertepuk tangan meskipun tanpa tujuan untuk mempermain-mainkan atau apa-apa keperluan.

Imam Ibn Hajar pula dalam kitabnya Syarh Al Irsyad (ibid) menyatakan makruh hukumnya betepuk tangan walaupun dengan tujuan untuk mempermain-mainkan.

Dalam satu pandangan lain, Al Ramli (ibid) menyatakan bertepuk tangan dengan tujuan untuk menyamai sifat wanita (kerana bertepuk tangan adalah khusus bagi kaum wanita di dalam sembahyang ketika menegur kekhilafan imam) adalah haram, dan makruh jika tidak dengan tujuan tersebut.

Sebagai kesimpulannya dapatlah dinyatakan bahawa dalam hal-hal yang tidak memerlukan seperti main-main atau sebagainya amalan bertepuk tangan ini hukumnya makruh.

Bertepuk Tangan Ketika Ada Keperluan

Semua fuqaha bersependapat (ibid) bahawa dalam keadaan-keadaan yang memerlukan (hajat seperti untuk memberikan penghormatan, perangsang dan sebagainya ia tidak menjadi suatu yang dilarang atau haram bahkan dtuntut untuk melakukannya.

Analisis

Dalam pandangan yang dkemukan di atas meskipun dalam keadaan dan suasana yang tidak diperlukan, bertepuk tangan hukumnya makruh. Dalam kaedah usul, makruh bererti, melakukannya tidak dianggap berdosa. Ia hanya mengurangkan ganjaran Allah SWT dan meninggalkannya akan diberikan ganjaran.

Baca juga  Rasulullah Lebih Romantik Berbanding Watak Lelaki Dalam Drama

Satu yang perlu diingat bahawa perletakan hukum makruh hanya dalam keadaan yang tidak menuntut budaya itu dilakukan. (keadaan-keadaan yang tidak diperlukan bolehlah dikategorikan sebagai mempermain-mainkan atau menghina atau mengejek dan mempersenda). Namun dalam keadaan dan suasana yang diperlukan ia boleh diamalkan malah digalakkan.

Suatu pekara yang perlu juga diberikan perhatian ialah persoalan keperluan atau hajat dalam keadaan, bagaimanakah ia dianggap berhajat kepada tepuk tangan?  Melihat kepada aspek hajat ini ia tidak sahaja merujuk kepada perbuatan bertepuk tangan untuk memberikan penghormatan atau perangsang, tetapi hajat di sini juga melihat kepada struktur majlis atau suasana majlis.

Seandainya majlis-majlis yang tidak baik (yang mempunyai unsur-unsur negatif dan menyalahi adab Islam), persoalan kehadirannya sudah dipertikaikan apatah lagi menjadi penyumbang kegembiraan kepada susasana yang tidak sihat tersebut. Jadi, dalam hal ini keperluan untuk bertepuk tangan harus juga mengambil kira suasana atau struktur majlis yang dihadiri, samada ia diharuskan atau sebaliknya.

Kesimpulan

Bertepuk tangan bukanlah suatu kesalahan disisi Islam malah ia merupakan suatu keperluan yang amat digalakkan untuk menimbulkan suasana yang memberangsangkan dalam suatu majlis, tidak kira samada majlis itu rasmi atau tidak, majlis yang berunsurkan keagamaan atau tidak, asalkan ia bukanlah majlis yang ditegah untuk menghadirinya.

Anggapan bahawa amalan bertepuk tangan menyalahi adab dan syariat Islam adalah salah dan tidak sabit mana-mana nas, malah tidak ada nas yang menyatakan amalan ini adalah perbuatan syaitan.

Petikan dari laman helikmedia.wordpress.com.

Baca Selanjutnya
Advertisement
Artikel berkaitan
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

More in Gaya Hidup

Advertisement

Trending

Advertisement
Advertisement
loading...
Advertisement
Ke Atas