Setiap orang mempunyai pandangannya masing-masing terhadap apa yang dilihat dengan mata kasar. Begitulah yang berlaku kepada seorang hamba Allah ini. Jangan terlalu menghukum orang kerana setiap orang mempunyai titik kelemahannya sendiri.

Boleh jadi apa yang dilihat tidak seperti yang kita fikir. Keadaan ini boleh dikatakan menilai seseorang tanpa menyelidik perkara yang sebenar. “Sesungguhnya mengandaikan sesuatu itu sebenar-benar bohong besar”.

Mari kita baca tulisan yang ditulis melalui media facebook:

ORANG AGAMA TAMAK

“ Pada pandangan saya, orang agama lebih tamak kepada duit daripada orang akademik…” beliau menyuarakan pandangan yang belum tentu tepat kepada ambo sambil minum teh selepas solat Isyak di Masjid Muhammadi Kota Bharu pada malam itu.

gambar hiasan

“ Mana buktinya tuan ? “ tanya ambo kepada beliau, seorang penjawat awam yang telah bersara . “ Berdasarkan pengalaman saya bergaul dengan orang agama dan orang yang berpendidikan serta bekerja di lapangan biasa. “ jawab beliau sambil tersenyum.

“ Orang agama pergi ke masjid mengajar Kuliah Maghrib kena ada elaun. RM 100 misalnya. Berapa pihak Masjid Muhammadi beri kepada pengkuliah? Kalau tak beri elaun, berani kata, tapi tak confirm, boleh jadi tak mari mengajar;” ujar beliau. Hanya mengagak sahaja.

“Orang akademik apa kurang nya. Kalau tak nak duit, takkan lah buka pusat tuisyen ini, pusat tuisyen itu…” potong ambo sebagai membela ustaz – ustaz yang mengajar di masjid – masjid.

“ Orang akademik pesen dia dah. Orang agama ni cakap saja. Kalau mengajar tasawwuf tu, berbuih mulut menerangkan kepada ahli jemaah masjid pasal ikhlas. Tapi sebenarnya dia tidak duduk di situ. Lakonan sahaja…” terang beliau lagi.

gambar hiasan

“ Betul juga apa yang tuan katakan itu. Ambo pun dahulu, semasa ambo belajar di pondok, ambo amat menyanjung tinggi orang – orang alim dan kita rasakan mereka ini seolah – seolah berada di alam dan situasi yang lain. Berbeza dengan kita orang kebanyakan. Namun, setelah kita mengetahui orang alim pun hisap rokok serupa orang kampung juga, kurang lah sikit respect kita…” kata ambo sebagai mengurangkan jurang perbezaan pandangan di antara ambo dan beliau. Barulah sedap berbicara.

“ Ya, ya … itulah yang saya maksudkan. Orang alim pun sama dengan kita. Tapi lebih teruk daripada orang biasa. Kalau Tuan Imam katakan tadi, orang akademik mahukan duit, buka tuisyen, saya setuju. Tetapi, orang akademik mendapat duit secara terhormat. Pelajar pergi bayar tuisyen di kaunter kepada kerani atau staf tuisyen. Setiap bulan pihak tuisyen membank- in duit kepada orang akademik. Pelajar tidak nampak, orang kebanyakan tidak kelih…” sambung beliau lagi.

“ Orang agama tidak segan silu menerima duit habuan mengajar di hadapan orang ramai dan para jemaah. Orang agama tidak malu “mengkerekot”kan jari menarik duit apabila ada pelajar atau ahli jemaah bersedekah ketika berjabat tangan. Sebagai orang biasa, saya tidak boleh menerima situasi ini…” jelas beliau lagi.

Ambo ketawa sahaja. Rupanya cara yang diamalkan di masjid, diperhatikan orang. Meskipun niat pemberi sedekah itu ikhlas, namun ada orang lain yang tidak suka melihat situasi ini lantaran menjejaskan thiqah dan kepercayaan masyarakat terhadap agamawan dan orang alim. Tidak manis nampaknya. Ada alternatif lain yang lebih baik.

“Pihak masjid ambo tidak begitu. Kami memberi elaun kepada pengkuliah atau penceramah jemputan tidak begitu. Ada yang kita beri secara bank – in. Kalau kita nak beri cash, pastikan caranya agar tidak disedari oleh orang kebanyakan. Biasa ambo memberi elaun mengajar dengan cara memasukkan sampul ke dalam kitab pengkuliah. Juga sering diletakkan sampul di atas meja kuliah. Kalau orang – orang alim besar menjadi penceramah jemputan, akan diberikan secara terhormat iaitu di kala beliau masuk ke kenderaan untuk balik, dan ambo adalah orang yang terakhir bersalam mencium tangan beliau di pintu kereta itu. Ketika itulah ambo memberikan sampul penghargaan kerana sudi hadir memenuhi jemputan masjid. “ beritahu ambo.

Beliau tersenyum sahaja mendengar penerangan ambo. Tiada kata lagi yang dilontarkan. Lalu ambo membuat kesimpulan, bahawa teknikal kita sebagai pelajar atau pengurus masjid yang menjadikan orang agama atau Orang Mengajar dilihat sebagai orang yang tamakkan duit.

Seandainya cara bersedekah kepada Orang Mengajar diubah, Insya Allah akan kelihatan lebih manis. Contohnya, bersedekah dengan duit cash, diubah kepada secara bersampul kecil . Bersedekah di hadapan dan dilihat ramai diubah kepada secara tidak disedari oleh orang lain.

Di samping itu, Orang Mengajar juga perlu tidak dilihat sebagai orang yang berkehendakkan dunia. Sebaliknya mengutamakan akhirat dalam kehidupannya.

Rosli Che Soh
Mencatat di Kampung Halaman
Sabtu, 16 Disember 2017

Catatannya sangat memberi banyak pengajaran kepada kita bahawa memberi tanggapan yang salah boleh merosakkan nama agama sekaligus pandangan orang terhadap orang yang mengajar ilmu agama. Namun tahukah anda apa yang ada di hati mereka yang menerima dan memberi? Hanya Allah sahaja yang tahu.

Sumber: facebook