Bagi pasangan yang telah lama berkahwin, keintiman dalam perhubungan boleh berkurang dan harus diberi perhatian. Kadangkala bagi mereka itu semua tidak begitu penting kerana kurangnya pengetahuan dalam pengurusan rumahtangga yang baik. Namun, ketahuilah bahawa keintiman dan kemesraan dalam sebuah keluarga itu sangat penting dalam memastikan kebahagiaan rumahtangga itu  sentiasa berkekalan sehingga hembusan nafas terakhir.

Secara umumnya, si isteri tahu dalam memainkan peranan sebagai seorang isteri dan ‘kekasih’ buat suaminya, tetapi berlainan pula dengan si suami. Ini kerana kebanyakkan si suami lebih suka bertindak serius dan jarang sekali bertindak romantik dengan isteri. Perkara ini selalunya selepas bertahun-tahun tempoh perkahwinan. Tidak menjadi kesalahan pun jika anda hendak bermanja dengan isteri anda yang sememangnya halal, bukan sahaja seronok malah dapat pahala lagi.

Terdapat segelintir lelaki yang malu hendak bermanja dengan isteri, namun bermanja dengan wanita lain boleh pula! Ini tidak boleh dibiarkan ya, sudah ada yang halal, yang haram juga dicari. Jom kita lihat antara tips berguna buat si suami supaya mampu menjaga hubungan romantik dengan isteri.

google image

Panggil isteri dengan nama yang baik-baik/manja.

Bagi sesetengah lelaki, mereka suka sangat memanggil isteri dengan panggilan ‘ibu, mak’, bukan la tidak manja, namun sekali sekala boleh cuba belajar untuk memanggil isteri anda dengan panggilan lebih manja, contohnya ‘yang’ , ‘sayang’, ‘mylove’. Dengan kaedah ini, barulah isteri anda rasa dihargai dan lebih menyayangi anda.

Bukankah Rasulullah juga memanggil isterinya, Aisyah, dengan gelaran pendek lagi manja “Aish”?

Selalu bergurau senda dengan isteri

Apabila pulang dari kerja, janganlah membawa masalah kerja ke rumah. Sebaik-baiknya asingkan perkara diluar dengan di rumah. Dan muka itu janganlah serius sangat. Lebih baik memberi senyuman kepada isteri anda, secara tidak langsung boleh memberi mood yang baik terhadap pasangan. Dengan itu, bergurau sendalah bersama isteri yang seharian terperap di rumah dengan anak-anak sekaligus menguruskan kerja-kerja rumah.

Bukankah Rasulullah juga bergurau senda dan bermain-main dengan isterinya? Siap berlumba lari dengan Aisyah lagi!

“Melayan isteri dengan lembut dan baik”

Suami mithali pasti akan berlembut dan berbuat baik terhadap isterinya. Bukan pula mengasari isteri secara fizikal mahupun emosi.

Bukankah itu antara nasihat utama dalam khutbah terakhir Rasulullah?

 

google image

Membantu hal kerja rumah

Kerja-kerja rumah bukan hanya tugas isteri. Sebagai suami yang bertanggungjawab, anda juga perlu menolong mereka tanda penghargaan anda kepada mereka, malah ini juga mampu mengurangkan beban kerja isteri. Islam sendiri mengatakan bahawa tugas kerja rumah itu tugas suami, isteri hanya sebagai pembantu suami sahaja.

Memuliakan dan melayan ibu bapanya dengan baik

Tiada yang lebih bermakna dalam hidup isteri selain ibu bapa mereka selepas anda sebagai suaminya. Layanlah ahli keluarganya umpama keluarga anda sendiri. Jadikan keluarga isteri itu sebahagian dari hidup anda yang penting. Hal ini kerana mengeratkan silaturrahim sangat digalakkan dalam Islam.

Sentiasa mengucapkan terima kasih kepada isteri

Jika melihat isteri sudah kepenatan melakukan tugas surirumah sehari suntuk, ringankan mulut anda mengucapkan terima kasih kepadanya. Secara ilmiah dan tidak langsung segala kepenatan itu akan hilang dengan mudah dan menjadikan isteri anda bertambah sayang pula kepada anda.

Didik dan tegur mereka secara berhemah

Jika isteri anda ada melakukan kesilapan, cuba anda menegurnya dengan baik. Bawa ke tempat yang sesuai seperti bilik tidur jika ingin menegur kesalahan isteri. Bukan dengan menengking seolah-olah kesalahan yang dilakukannya itu terlalu besar. Jika boleh tegur dengan cara baik, seelok-eloknya cari cara yang paling lembut, insyallah isteri anda menerima teguran dengan hati yang terbuka. Malah isteri anda akan lebih mengikut kata-kata anda jika permasalahan diselesaikan dengan kaedah yang betul. Wanita tidak suka dilayan secara kekerasan, kerana rasa hormat itu akan hilang malah dia mungkin akan lebih memberontak.

Kerap Bersembang/Berbual dengan Isteri

Selalu kita lihat, apabila balik dari kerja, suami selalu memberi alasan letih dan mahu tidur awal dan sebagainya, seolah-olah menghindarkan diri dari isteri. Nak berbual pun jarang sekali. Kadang-kadang melayan game di telefon pintar lebih menjadi keutamaan. Seelok-eloknya,  mulakan perbualan dengan isteri yang boleh mendatangkan keceriaan kepada isteri. Setiap saat perbualan itu sangat berharga bagi isteri anda malah anda boleh berkongsi pendapat dengan isteri anda. Kadang kala dia boleh menyelesaikan masalah yang anda hadapi.

google image

Lakukan aktiviti menarik bersama-sama

Apabila ada masa terluang, isikan masa itu dengan melakukan aktiviti-aktiviti menarik bersama isteri dan anak-anak. Ajak keluar bersama untuk mengisi masa lapang sama ada pergi beriadah atau membeli belah. Jangan pula bila ada masa terluang, anda tidur sahaja, dengan alasan hendak berehat di hujung minggu. Isteri anda juga perlukan masa untuk beriadah kerana mereka merupakan tulang belakang anda. Jangan pula melayannya seperti orang gaji, sangat tidak patut.

Bagi kebanyakkan lelaki, perkara ini merupakan hal yang sangat remeh sehingga tidak perlu dibincangkan. Sedangkan peratusan suri rumah yang mengadu kepada pakar kaunseling adalah kerana suami sangat jarang meluangkan masa dengan mereka. Apa yang mereka fikirkan kebanyakkan cuma hendak bekerja dan memberi nafkah sahaja. Jangan pernah fikir dengan memberikan nafkah ribuan ringgit itu mampu memberi kebahagian kepada isteri anda. Tidak sama sekali. Kerana seorang isteri hanya memerlukan anda sebagai ketua dan membimbing mereka dalam menuju kearah sebuah keluarga yang bahagia sehingga akhir hayat.

Akhir sekali, jadikan isteri anda itu adalah yang pertama dan yang terakhir.

 

Sumber: aliffchannel