Setiap orang sememangnya mempunyai ramai kawan. Tapi adakah kawan itu sahabat yang benar-benar sahabat atau yang cuma mendampingi kita saat kita gembira sahaja? Mari kita kenali bagaimana sahabat yang mulia dan boleh diharap walau bagaimana keadaan kita sekalipun.

Sifat Sahabat yang Mulia
1. Memiliki akhlak dan budi pekerti yang baik.
Seseorang yang disenangi, mempunyai akal yang baik, berbudi pekerti dan mematuhi perintah Allah. Sering juga mengajak kita melakukan kebaikan untuk diri dan masyarakat. Berbicara dengan penuh kelembutan dan kesopanan.

2. Menutup keburukan dan kekurangan sahabat, baik semasa sahabat ada ataupun tiada.
Tidak menderitakan keaiban orang lain kepada sahabatnya dan jika dia melihat sesuatu yang tidak baik tentang diri kita, dia akan menjaga aib tersebut.
Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa menutup keburukan saudaranya, maka Allah akan menutup keburukannya di akhirat.” (Riwayat Ibn Majah)

3. Memperbesarkan kebaikan yang dilakukan oleh sahabatnya.
Sering menanyakan tentang kesusahan yang kita hadapi kerana ingin berkongsi kesusahan, kesedihan dan kesenangan bersama. Menjadi penghibur waktu kita sedih dan pelindung jika kita memerlukan. Sanggup mengorbankan masa, harta dan tenaga untuk memenuhi hajat sahabatnya.

4. Menyebut kebaikan.
Jika dia mendapat sesuatu kebaikan daripada kita, dia akan menghargai dan menyebut-nyebut kebaikan itu. Tidak pula dia berkecil hati jika kita tidak mampu membantunya.

5. Mudah mengalah.
Jika berlaku salah faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga hubungan. Mengorbankan perasaan sendiri demi menjaga hati sahabatnya.

6. Mendorong kita mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Saling nasihat-menasihati berkenaan hal-hal dunia dan akhirat.
Bersedia untuk menerima nasihat dan menasihati.

Adakah sahabat-sahabat anda mempunyai keteria seperti di atas? Jika ada, janganlah mensia-siakan sahabat anda itu. Kerana sahabat seperti itu jarang untuk ditemui.

 

Sumber: http://salafussoleh95.blogspot.my