Berita buruk bagi perokok tegar iaitu harga rokok mungkin akan naik 2018 berikutan cadangan yang dikemukakan untuk menaikkan harga rokok. Kerajaan dicadangkan menaikkan harga rokok sehingga RM50 sekotak dalam Bajet 2018 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu usaha membendung gejala dadah membabitkan remaja dan belia.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Saparudin Yusuf mencadangkan kenaikan harga tersebut bagi menjadikan rokok sebagai satu barangan mahal dan tidak mampu dibeli sehingga menyebabkan remaja dan belia sukar mendapatkannya.

Beliau berkata, berdasarkan pe­ngalaman dan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dadah, anak luar nikah dan virus HIV mendapati, rokok menjadi asas kepada masalah-masalah dan gejala sosial itu menjadi punca beberapa masalah kesihatan.

“Jadi, jika harga rokok dinaikkan kepada RM50, sebagai langkah awal, masyarakat tentu akan berfikir berapa kali untuk membeli kerana mahal,” katanya selepas program Sembang Bajet Utusan Online di sini baru-baru ini.

Langkah-langkah mencegah rakyat daripada menghisap rokok ini diusulkan supaya rakyat dapat hidup sihat tanpa rokok seterusnya mampu membina masyarakat yang sihat dan bebas rokok.

Artikel Penuh

Sumber: utusan.com.my